Tuesday, June 17, 2008

'Minyak naik RM1, potong elaun 5sen'

Selangor tidak akan mengikut jejak kerajaan persekutuan untuk memotong elaun menteri dan wakil rakyat sebagai langkah berjimat-cermat berikutan kenaikan harga petrol.“Kalau (kerajaan pusat) naik RM1, potong (elaun) 5 sen, maknanya rakyat tidak berapa pandailah. Ataupun kerajaan tidak berapa pandailah,” kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.Beliau menyifatkan pemotongan elaun keraian dan perbelanjaan berhemah sebagai kesan “malu alah” kerajaan pusat kepada rakyat kerana menaikkan harga minyak.“Sekarang kerajaan naikkan (harga) minyak dan malu alah, (kemudian) baru putuskan agar pegawai dan menteri-menteri potong gaji. "Potong gaji, sedikit. Habis potong (semua) gaji bagi pada rakyat pun, rakyat kena potong RM7 hingga 8 bilion. Potong gaji semua menteri-menteri itu tidak sampai RM200 juta,” katanya dalam wawancara khas di kediaman rasminya di Shah Alam, Sabtu lalu.Menurut wakil rakyat Ijok lagi, kerajaan persekutuan sepatutnya mengambil kira pelbagai pilihan yang ada sebelum membuat keputusan."Itu yang nak kena kita bincangkan betul-betul. Adakah strategi kerajaan sekarang meringankan beban rakyat atau tidak. "Kalau tidak mengurangkan beban rakyat, adakah strategi itu berkesan atau tidak? Pada saya, pilihan-pilihan yang lain perlu dibincangkan dulu sebelum mengambil keputusan.”Minggu lalu, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan, elaun beliau, timbalannya, menteri dan timbalan menteri akan dipotong 10 peratus mulai 1 Julai.Ketika ini, elaun keraian sebulan perdana menteri adalah RM18,865, timbalannya (RM15,015), menteri persekutuan (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000). Beberapa negeri yang diterjui BN seperti Terengganu, Sarawak, Pahang, Melaka dan Perlis turut menuruti langkah ini. Sementara di lima negeri Pakatan Rakyat, hanya Kedah sahaja yang mengumumkan pemotongan, sementara Kelantan mengamalkan dasar itu sebelum kenaikan harga minyak.Bercakap kepada media berbahasa Melayu sempena seratus hari pentadbiran Pakatan di Selangor, Khalid turut menyarankan kerajaan memfokuskan usaha kepada melindungi pendapatan benar rakyat berbanding pendapatan wang sedia ada bagi menjamin kesan kenaikan bahan api itu."Pada saya, apakah yang diperlukan oleh rakyat pada masa inflasi? Jawapannya, rakyat mahu pendapatan dia sampai di tahap boleh digunakan? Maknanya, kita mesti kurangkan beban. Dalam inflasi, duit RM100, sekarang dia kena simpan RM110. Itu isunya. Rakyat mahu pendapatan benar.“Kalau kita meningkatkan pendapatan benar itu dengan memberi subsudi minyak, kita boleh buat kalau kita punya minyak. Tetapi tidak usahlah melampau sampai percuma. Adalah had-had yang kita hendak lakukan,” katanya.Mengulas mengenai usahanya meningkatkan ekonomi negeri, menurut Khalid, Selangor merancang menguruskan sumber-sumber aslinya seperti pasir dan tanah dengan lebih berkesan supaya hasilnya dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat.Sekarang ini, tambahnya, pengurusan pasir kurang menguntungkan negeri itu. Selangor hanya mendapat RM17 juta setahun daripada royalti penjualan sumber itu.Khalid berkata, jika ia diuruskan sendiri dapat memberikan pendapatan sehingga 10 kali ganda.“Kalau kita urus dan jual terus, kerajaan boleh dapat RM150 juta. Sekarang ini kerajaan cuma ambil royalti. Jadi lebih baik supaya mendapat manfaat lebih. Ini boleh disalurkan kepada program kebajikan.”Mengulas pengurusan tanah pula, Selangor akan membatalkan pemberian tanah percuma dengan bayaran premium kepada pengusaha kerana amalan sekarang tidak menguntungkan kerajaan.Tetapi, menurutnya, mereka yang menetap di kawasan itu dalam tempoh yang panjang akan dipertimbangkan.“Kerajaan Selangor bersimpati kepada mereka yang duduk di tanah itu selama 30 tahun dan dijanjikan (oleh kerajaan sebelumnya), itu kerajaan (sekarang akan) beri. Tetapi kerajaan Selangor tidak bagi kepada pengusaha. Dia pergi cari tengok tanah mana kosong, jumpa kita kata, berilah saya tanah ini sebab saya akan usahakan. “Tetapi kerajaan bukan jual pada dia. Bagi saja. Bagi premium. Premium hanya sepuluh peratus pada nilai itu. Bagi saya, jawapannya buat apa bagi premium. Kalau betul-betul nak jual, jual saja. Dan keuntungan itu bagi balik pada rakyat Selangor,” katanya.

Monday, June 16, 2008

Penjelasan Ezam_ Kenapa masuk UMNO

: Hasrat bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor untuk menyertai Umno menimbulkan banyak andaian, berikutan itu, sekumpulan ahli dan bekas ahli PKR di Sepang Selangor menjemput Ezam bagi mendengar sendiri cerita di pihaknya.
Menurut bekas exco Pemuda PKR, Abdul Ghani Haroon, pertemuan itu akan diadakan di Balai Raya Kampung Ulu Jenderam, Sepang malam ini.
"Ramai di antara mereka adalah bekas ahli PKR yang tidak lagi aktif, mereka tertanya-tanya mengapa Ezam memilih Umno, jadi mereka jemput Ezam untuk dengar sendiri penjelasan," katanya kepada KLpos.com.
Sementara itu, KLpos.com, dimaklumkan Ezam menerima banyak jemputan serupa dari berbagai pihak yang ingin mendengar penjelasan beliau.
Ezam dijangka akan menghadiri ceramah anjuran Umno Kuala Terengganu pada 19 Jun ini, di ikuti majlis penerangan di pejabat Umno Selangor pada 21 Jun.
Manakala, beliau akan menghadiri forum bersama Umno Bandar Tun Razak pada 25 Jun.
Beliau akan menghadiri jemputan Umno bahagian Larut pada 27 Jun, dan Umno Lumut pada 5 Julai, selain itu, Ezam dijadulkan menghadiri jemputan Umno Shah Alam pada 11 Julai ini.

"Anwar 'gempak' saja" Fu Ah Kiow

KL: MCA menyifatkan sebagai tidak masuk akal dakwaan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Anggota Parlimen dari MCA mendahului senarai wakil rakyat dari Barisan Nasional yang akan menyertai pembangkang.
Pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Fu Ah Kiow berkata kenyataan Anwar itu merupakan satu gimik murahan.
Ia bertujuan menimbulkan perbalahan dalam kalangan parti komponen BN, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Ini adalah strategi beliau dalam mengejar impiannya menjadi Perdana Menteri. Jelas sekali niatnya adalah buruk," kata Fu.

"Bila Ku Li menepuk rostrum"

TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) adalah antara tokoh dan pemimpin yang sederhana. Walaupun beliau berdarah ningrat, namun sifat-sifat ego sebagai keluarga bangsawan tidak dipamerkan dan seolah beliau tidak sedikipun mempunyai keistimewaan itu.
Ku Li pandai menyesuaikan dirinya dengan masyarakat kebanyakan. Kalau dipangkal namanya tidak ada perkataan “Tengku”, mungkin orang tidak percaya dia adalah seorang putra raja.
Tanyalah siapa yang mengenali dan pernah mendekatinya akan merasai hakikat itu kecuali mereka yang ada masalah personal dengannya. Beliau sangat humble dan bersahaja.
Pakaian casualnya sudah boleh menjelaskan kesederhanaan itu. Di majlis-majlis separuh rasmi beliau sering mengenakan baju kemeja bertangan pendek yang lolos dan berseluar longgar.
Demikian juga dengan kenderaanya. Dari dulu sampai kini beliau masih menggunakan kenderaan lama. Tidak mungkin beliau tidak mampu untuk membeli Cyran seperti dimiliki anak-anak Mahathir Mohamad atau Hishamuddin Hussein yang bernilai jutaan ringgit itu.
Beliau boleh makan dan duduk berbicara dengan sesiapa sahaja, di mana dan keadaan apa saja. Beliau juga seorang pendengar yang baik.
Tidak mudah mematahkan hujah orang walaupun tidak logik dan menyakinkannya. Perbualannya yang sesekali dibumbui ketawa dan serius itu menjadikan orang mudah terlekat hati dan merasai kemesraannya. Berdiri di hadapan Ku Li kita tidak dipisahkan oleh apa-apa status!
Itulah tanggapan secara umum mengenai Ku Li.
Tetapi pagi tadi ketika berucap pada majlis pertemuan dengan ahli Umno akar umbi di bahagian Gombak, di Taman Melawati benar-benar mengejutkan saya apabila beliau menepuk rostrum lebih dari tiga kali.
Saya tidak percaya yang berbuat begitu Ku Li. Selalunya yang suka menempuk rostrum ialah Ibrahim Ali atau pun Muhammad Sabu.
Apabila ianya dilakukan Ku Li ia benar-benar merujakan. Mesti ada sesuatu yang serius sehingga Ku Li juga bersikap seperti Ibrahim Ali!
Apa yang menjadikan Ku Li tiba-tiba naik angin pagi tadi ialah apabila membicara soal peralihan kuasa dalam Umno.
Kenyataan Abdullah Ahmad Badawi di Kota Bharu kelmarin dan diulangi di Terengganu semalam yang mengatakan tarikh peralihan kuasa dari beliau (Abdullah) kepada Mohd Najib Razak telah pun ditentukan. Kenyataan itu menjengkil dan kurang disenangi Ku Li.
Beliau ada hujah dan alasan kenapa tidak merasa kecewa dengan tindak tanduk Abdullah itu. Bagi Ku Li Abdullah tidak berhak membuat sebarang janji untuk atau pandai-pandai hendak melepaskan kuasa atau jawatan (Perdana Menteri) kepada timbalannya atau sesiapa saja.
Ini kata katanya, apa yang dibuat Abdullah itu tidak pernah menjadi amalan Umno sebelum ini dan bertentangan dengan perlembagaan parti. "Jawatan bukan milik seseorang dan tidak ada dalam perlembagaan Umno tidak ada peruntukan yang boleh berbuat begit," ujarnya.
Tambahnya lagi kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti bukan keistimewaan untuk berbuat demikian. "Walaupun dia Perdana menteri namun dia tidak ada hak untuk bercakap nak serah kuasa pada sipolan sipolan,” katanya dengan kesal sambil melepaskan tumbukan ke rostrum.
Menurut bekas Naib Presiden Umno itu yang berhak untuk melantik sesiapa juga jadi perdana menteri ialah Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini adalah hak dan kedudukan dalam perlembagaan negara.
Bagi Ku Li tindakan Abdullah itu jelas melanggar peruntukan perlembagaan dan secara tidak langsung ia juga cuba menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Justeru menurutnya kalau ahli-ahli Umno menerima juga peralihan kuasa yang dicadangkan Abdullah itu ini bermakna bodohlah ahli Umno. “Kalau kita menerima juga peralihan kuasa itu maka bodohlah kita,” jelas ahli Parlimen Gua Musang itu.
Bagaimana pun sarannya sekiranya ahli Umno tidak dapat menerima peraturan yang tidak ada dalam peruntukan perlembagaan itu maka ianya hendaklah ditolak.
Ku Li nampak benar-benar serius dalam soal ini. Kalau tidak masakan beliau sampai menepuk rostrum berkali-kali. Topik yang menjadikan beliau naik angin sehingga menepuk rostrum juga ialah semasa menyentuh soal sistem kuota yang diperkenalkan dalam Umno.
Sistem itu menurutnya tidak menghormati hak dan kebebasan ahli dan menyekat kebebasan demokrasi di dalam Umno.
Menurut Ku Li sistem itu patut dihapuskan dan mereka yang menerimanya adalah mereka yang pengecut dan takut kepada bayang-bayang sendiri.
"Kalau kita benar-benar merasakan kita layak apa hendak ditakutkan kepada perlawan, kita lawan..." ujarnya. Dalam pada itu beliau sekali menegaskan, apa juga halangan namun beliau tetap akan lawan.
Apabila Ku Li menepuk rostrum, tepukan itu bukan kerana dirinya kerana kebetulan beliau hendak bertanding pada Disember hadapan. Tetapi tepukan dan geraman itu ialah untuk kebaikan Umno.
Seperti kata beliau, kalau beliau jadi PM, beliau tidak akan duduk lama di situ beliau hanya sekadar hendak menghabiskan sisa-sisa usianya demi perjuangan.
“Saya tidak bercadang untuk duduk lama, tetapi sekadar menghabiskan sisa-sisa usia untuk perjuangan...” jelas beliau. Beliau juga menyatakan sekiranya beliau jadi presiden parti segala peraturan yang tidak demokratik itu akan dihapuskan dan pemegang jawatan juga akan dihadkan mengikut tempoh tertentu.
Berpandukan kepada track record serta sikap dan sifat Ku Li sebagai pemimpin, jelas bahawa tepukan rostrum yang dilakukan pagi tadi bukan untuk dirinya semata-mata sebaliknya yang lebih penting beliau berbuat demikian bagi menyedarkan ahli Umno yang dilihat sudah begitu lemah dan mudah hanyut dalam arus kebendaan sehingga menerima apa saja keputusan pemimpin meskipun bertentangan dengan perlembagaan parti.
Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang